NURSUHADA FITRIAH BINTI MOHD ISA(D20191088689)
IKLIM PEMBELAJARAN POSITIF
Berdasarkan
penulisan blog tempoh lalu berkaitan dengan pengurusan fizikal bilik darjah ,
penulisan kali ini akan membincangkan berkaitan dengan iklim pembelajaran
positif . Pengurusan bilik darjah yang berkesan akan mencorakkan iklim
pembelajaran yang lebih positif . Perancangan dan pengurusan bilik pembelajaran
yang baik dan teratur melalui aspek susunan fizikal, sosial, serta emosi mampu mewujudkan
sebuah iklim pembelajaran positif.
Bagaimana aspek
susunan fizikal, sosial serta emosi mampu mewujudkan sebuah iklim pembelajaran
yang positif ?
Pertama sekali, Iklim
pembelajaran merujuk kepada norma-norma serta sikap guru dan pelajar yang dapat
mempengaruhi pembelajaran seharian. Dalam konteks bilik darjah, iklim dikaitkan
dengan suasana atau keadaan tertentu yang memberi tanggapan tentang apa yang
dirasai dan suasana yang mempengaruhi perkembangan tingkah laku pembelajaran .
Jadi, dalam keadaan ini perkara yang diperlukan ialah kecekapan dan kemahiran
guru dalam mencorakkan suasana dan keadaan bilik darjah. Guru yang baik dapat
mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif dan merangsang pelajar ke tahap
pembelajaran maksimum.
FAKTOR
MEMPENGARUHI IKLIM PEMBELAJARAN POSITIF :
SUSUNAN FIZIKAL
Susunan fizikal
yang kemas dan teratur akan mewujudkan suasana yang kondusif didalam kelas. Dalam
bilik darjah abad ke-21, guru adalah fasilitator kepada pembelajaran murid.
Susun atur kelas PAK1 (Pendidikan Abad Ke 21) hendaklah mampu untuk merangsang
elemen 4K 1N dalam diri setiap pelajar iaitu komunikasi, kolaboratif,
kreativiti, pemikiran kritis serta nilai murni dan etika. Jika suasana kelas
itu sendiri mampu menimbulkan kesemua elemen ini semestinya iklim pembelajaran
yang postif dapat diwujudkan .
SUASANA SOSIAL
Suasana sosial
bilik darjah yang baik berupaya menjamin kelancaran dan keberkesanan proses
pengajaran dan pembelajaran. Guru berperanan dalam mewujudkan suasana sosial
didalam bilik darjah. Misalnya, mewujudkan suasana demokrasi didalam bilik
darjah iaitu murid-murid bebas untuk memberi pandangan dan mengemukakan idea
mereka untuk dikongsi bersama rakan. Melalui amalan ini, komunikasi dan
hubungan sosial didalam kelas dapat diperbaiki.
Selain itu, guru
juga perlulah merancang dan melaksanakan aktiviti perbincangan secara berkumpulan.
Ketika aktivoti berkumpulan, murid-murid akan berinteraksi dan saling membantu
diantara satu sama lain dengan tujuan untuk mencapai objektif pembelajaran yang
tetapkan oleh guru. Dengan bantuan guru, perbincangan dalam kumpulan pasti akan
mewujudkan suasana iklim bilik pembelajaran yang positif.
SUASANA EMOSI
Sikap,
kemesraan, unsur humor, kawalan kelas, gaya kepimpinan dan penggunaan ganjaran
akan mempengaruhi suasana emosi bilik darjah sewaktu proses pengajaran dan
pembelajaran berlangsung. Penggunaan suara guru yang jelas, berintonasi dan
tidak tegang dapat mewujudkan suasana yang selesa dan tenang. Hal ini
membolehkan pelajar berinteraksi dengan guru dalam proses pengajaran dan
pembelajaran.
Menurut ahli
psikologi tingkah laku (Skinner,1930), kaedah Peneguhan positif seperti pemberian
markah, pujian dan menggalakkan persaingan bolehlah diaplikasikan. Manakala
peneguhan negatif seperti denda, sindiran, atau hukuman akan menjadikan emosi
pelajar tidak tenteram. Apabila ganjaran positif yang diberikan sudah tentu
akan meningkatkan semangat pelajar untuk belajar.Hal ini akan mempengaruhi
emosi mereka didalam bilik darjah serta mewujudkan sebuah iklim pembelajaran
yang sihat.
Secara
kesimpulannya, ketiga-tiga aspek ini iaitu susunan fizikal, suasana sosial
serta suasana emosi amatlah penting dalam mewujudkan iklim bilik pembelajaran
positif terutamanya bilik darjah. Iklim bilik pembelajaran yang positif ini
akan membantu secara langsung mahupun tidak langsung dalam kemenjadian murid-murid
seperti yang diinspirasikan mengikut aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia
(KPM).
NURSUHADA FITRIAH BINTI MOHD ISA (D20191088689)