Sunday, April 19, 2020

IKLIM BILIK DARJAH

JAMILAH BINTI MOHAMMAD SHAARI. (D20191088705)


IKLIM BILIK DARJAH

Seperti yang kita maklum, bilik darjah merupakan antara medium yang penting dalam menjayakan proses pengajaran dam pembelajaran. Iklim bilik darjah yang kondusif mampu mewujudkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran antara guru dan murid. Suasana pembelajaran yang berkesan tidak mungkin terbina dengan hanya memberi tumpuan pada proses penyampaian isi pengajaran guru sahaja. Ia turut melibatkan aspek pengurusan bilik darjah serta tingkah laku murid. Terdapat tiga jenis pengurusan yang mempengaruhi keberkesanan iklim bilik darjah iaitu suasana fizikal, sosial dan emosi.


SUASANA FIZIKAL

Faktor pertama yang mempengaruhi iklim bilik darjah adalah keberkesanan pengurusan suasana fizikal. Perkara yang perlu diutamakan oleh seseorang guru adalah memastikan keadaan bilik darjah itu sentiasa dalam keadaan bersih dan kemas. Bilik darjah yang menarik adalah kondusif untuk pembelajaran. Susunan peralatan dan kemudahan dalam bilik darjah seperti kerusi, meja, buku rujukan, sudut bacaan, bakul sampah, papan tulis dan lain-lain akan membantu keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran serta mengekalkan disiplin murid dalam bilik darjah. Sebagai contoh, suasana fizikal bilik darjah yang boleh meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah ialah penyusunan kerusi dan meja murid mengikut kumpulan yang sesuai akan memudahkan interaksi di antara murid dengan murid dan guru dengan murid. Selain itu, suasana di bilik darjah yang dihiasi dan diatur kemas dengan pelbagai  carta, gambar dan alat bantu mengajar yang menarik dan kreatif serta saiz bilik yang mencukupi memberi keselesaan kepada murid untuk menjalankan pelbagai aktiviti kumpulan atau permainan. Tingkap dan pintu yang mencukupi untuk pencahayaan dan pengedaran udara dengan baik serta keadaan kebersihan dan keindahan bilik darjah juga mempengaruhi iklim bilik darjah yang berkesan.



Gambar 1. Contoh susun atur kelas abad-21.


SUASANA SOSIAL

Dari aspek pengurusan suasana sosial pula, pakar psikologi pernah mengatakan bahawa hasrat inti sari manusia adalah menjadi sebahagian daripada alam sosial dan perasaan intelektual, Oleh itu, guru perIu menggerakkan keinginan murid melibatkan diri dalam suasana bilik darjah mengikut hasrat hati semula jadi. Mereka mengharapkan peranan mereka dipuji dan diperhatikan. Interaksi sekurang-kurangnya dua hala adalah amat diperlukan dalam sesuatu pengajaran dan pembelajaran. Perhubungan antara guru dengan murid di dalam bilik darjah perlu diwujudkan supaya pembelajaran berkesan dapat dipraktikkan. Situasi ini akan mendorong seseorang guru mengamalkan tingkah laku yang afektif dan berkualiti. Fenomena ini memerIukan kemahiran, keupayaan dan komitmen yang tinggi. Selain dari itu, terdapat percubaan guru untuk memasuki dunia murid dengan hasrat mempengaruhi dan memimpin mereka. Kejayaan memasuki dunia murid dapat menghasilkan persefahaman dengan murid khususnya pada tahap emosi yang mesra. Akhirnya, dua pihak yang terlibat akan saling bersedia dalam hal berkongsi pengalaman dan saling bekerjasama.

















Gambar 2. Contoh suasana sosial PdP abad-21 dalam bilik darjah.


SUASANA EMOSI

Akhir sekali dari aspek pengurusan suasana emosi, cara penyampaian dan stail kepimpinan guru di dalam bilik darjah adalah kunci utama menghasilkan pembelajaran yang berkesan. Ia termasuklah suara guru seperti nada yang sesuai, lantang, jelas dan terang. Selain itu, stail guru yang lucu dapat mengurangkan emosi yang tegang serta mengeratkan hubungan yang sedia ada di bilik darjah. Malah stail sebegini mampu mengelakkan bilik darjah daripada menjadi suasana yang suram. Seterusnya penggunaan pujian dalam bilik darjah mampu menghasilkan peneguhan positif kerana pelajar yang sering dipuji akan berasa seronok dan bermotivasi tinggi dalam sesuatu pelajaran. Ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang berjalan, iklim bilik darjah yang mesra dan harmoni perlu dicipta oleh guru. Ini kerana pelajar memang suka jika dipuji dan diberi perhatian. Pelajar akan merasa dirinya menjadi penting dalam bilik darjah apabila dipuji. Kesilapannya mungkin boleh dimaafkan dan diberi tunjuk ajar yang sewajarnya. Sekiranya guru boleh berhenti di pertengahan penyampaian kandungan kurikulum dan diselangi dengan aktiviti tepuk tangan atau permainan, semangat pelajar akan terus meningkat untuk sambung pembelajaran di bilik darjah. Pelajar yang berjaya membuat sesuatu dengan betul perlu diberi penghargaan supaya kepuasan diri pelajar melaksanakan sesuatu aktiviti dapat ditingkatkan. Secara tidak langsung, imej guru juga dapat ditingkatkan bahkan pelajar akan sentiasa menunggu kehadiran guru untuk belajar bersama guru tersebut. Emosi dan tingkah laku pelajar terhadap guru mereka juga akan sentiasa pada tahap yang positif.













Gambar 3


Gambar 4

Gambar 3 & 4, contoh suasana ceria murid di dalam bilik darjah.


Secara kesimpulannya, strategi pengurusan bilik darjah adalah berkait rapat dengan tiga elemen penting seperti unsur fizikal, sosial dan emosi dalam bilik darjah. Selain itu juga, peranan daripada guru adalah penting bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan seiring dengan matlamat dan isi pembelajaran yang ingin disampaikan.  Apabila bilik darjah berada dalam keadaan yang terurus, maka kesemua aktiviti yang ingin dijalankan akan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan memberi manfaat secara optimum kepada seluruh warga sekolah.

 

No comments:

Post a Comment